English   |   Bahasa Melayu

Mapois

 

Suara Patriot Sebenar

 

Wednesday 2 July 2008

Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Rakyat di negara ini, tak kira Melayu, India atau Tionghua, berasa hairan dengan penyataan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kononnya perpaduan dan integrasi nasional merupakan aspirasi utama BN. Demikianlah laungan “tak laku” Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu persidangan di Dewan Rakyat semasa menjawab soalan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Perdana Menteri untuk memupuk objektif Bangsa Malaysia sejajar dengan Wawasan 2020 memandangkan masalah polarisasi kaum kini semakin memburuk berikutan dengan bunyi riuh komunal mengenai “ketuanan Melayu” atau “kedaulatan Melayu” yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Lim Kit Siang (DAP – Ipoh Timur).

Selepas Tsunami Politik 8 Mac lalu, isu perkauman yang dimainkan oleh BN dan media-media agensi kempen pilihan raya mereka diteruskan untuk kepentingan politik UMNO dan BN. Hal demikian berikutan penguasaan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri dan wilayah persekutuan. Negeri-negeri yang ditadbir oleh PR sering diambil kesempatan dengan mengaitkan isu perkauman, khususnya negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Misalnya, sistem tender terbuka di Pulau Pinang, isu projek pembinaan ladang khinzir dan isu keluasan tempat ibadat bukan Islam di Selangor, isu perlantikan Menteri Besar Perak, bangsa exco negeri di Perak dipersoalkan dan sebagainya. Semua ini semata-mata hanya untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu terhadap UMNO, memandangkan kaum Melayu telah tiada lagi kepercayaan terhadap kepimpinan BN.

Bagi rakyat Malaysia, kemenangan PR bukanlah sekadar 81 kerusi parlimen dan lima buah negeri tetapi ia adalah lebih daripada itu. Ini kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai bentuk ketidakadilan seperti proses pilihan raya yang tidak adil (pembatalan penggunaan dakwat kekal, pengundian pos), politik wang yang diamalkan BN, laporan berat sebelah dan ketiadaan kebenaran dalam media arus perdana, Mujurlah, rakyat Malaysia telah bangun dan tidak lagi terpengaruh dengan segala bentuk retorik UMNO yang bersifat perkauman dan memecahbelahkan. Rakyat Malaysia hari ini mengundi bukan lagi berdasarkan apa bangsa calon tetapi adalah mengundi untuk perubahan, undi untuk melindungi hak sendiri sebagai anak Malaysia.

Hanya keadilan dapat satukan manusia. Demikian dikatakan Presiden PAS. Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Sumber didapati dalam akhbar rasmi partinya, Harakah yang bertarikh 1 – 15 Jun 2008. Penyataan sedemikian sememangnya tidak dapat mana-mana pihak untuk menyangkalnya, Tetapi, adakah pendirian PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam itu adil dan dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama? Sudah tentu tidak dan ia hanya akan memburukkan lagi hubungan antara kaum di negara ini. Negara Islam sememangnya tidak praktikal untuk diamalkan di Malaysia yang berbilang agama seperti mana yang ditegaskan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Apa yang perlu ditegaskan adalah rakyat India dan Tionghua tidak pernah menerima negara Islam seperti mana yang didakwa oleh pemimpin PAS yang kononnya rakyat India dan Tionghua telah menerima negara Islam. Selepas Tsunami Politik 8 Mac lalu, orang India dan Tionghua begitu kecewa dengan kata-kata pemimpin PAS dan berasa tertipu yang mana, sebelum pilihan raya, laungan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ tetapi kini ia telah berubah menjadi laungan ‘Negara Islam’. Itulah penting untuk kita rakyat Malaysia tidak memberi sokongan kepada PAS, sokongan kepada PAS atau UMNO hanya akan membawa kepada polarisasi kaum atau agama.

No comments:

Post a Comment