English   |   Bahasa Melayu

Mapois

 

Suara Patriot Sebenar

 

Wednesday, 22 April 2009

Di Mana Kedaulatan Undang-undang?

Tentunya semua rakyat Malaysia kini begitu kecewa untuk melihat pemerintahan UMNO/BN yang jelas penuh dengan penyalahgunaan kuasa. Asas pembinaan negara iaitu Perlembagaan Persekutuan serta prinsip-prinsip Rukun Negara telah diabaikan untuk mencapai ideologi sempit UMNO/BN.

Walaupun menjadi pengetahuan umum bahawa UMNO/BN telah melanggari undang-undang, tetapi mereka tidak diambil tindakan, seolah-olah mereka mempunyai kekebalan.

Apa yang berlaku dalam badan kehakiman belakangan ini, akan menjadi sejarah hitam ataupun skandal dalam sejarah kehakiman di negara ini yang jelas satu badan yang tidak bebas daripada pengaruh badan eksekutif.

Umpamanya, keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penggantungan tujuh ADUN daripada menghadiri sidang DUN adalah jelas bercanggah dengan Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah. Apa yang lebih pelik adalah apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa UMNO/BN kononnya menggunakan prosedur yang betul untuk mencabar keputusan Speaker DUN Perak V. Sivakumar di mahkamah. Pada hal, perjalanan dalam DUN bukan bidang kuasa mana-mana mahkamah.

Wednesday, 8 April 2009

Rakyat Bertekad Menumbangkan Kerajaan UMNO/BN

Keputusan PRK Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau semalam, menunjukkan rakyat bertekad untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN, cuma peluang belum tiba, iaitu PRU ke-13. Yang mana, calon Pakatan Rakyat (PR) mampu menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan PRU tahun lepas, biarpun peralihan kuasa dalam UMNO telah dilakukan.

Selain itu, kemenangan PR di dua Bukit adalah jauh lebih bermakna berbanding dengan kemenangan UMNO/BN di Batang Ai. Hal ini kerana campur tangan pelbagai pihak dalam ketiga-tiga PRK ini jelas bertujuan untuk menggagalkan keberkesanan kempen pilihan raya PR. Ia termasuklah:

  • Tarikh membuang undi yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jelas ditentukan dengan mempertimbangkan hal ehwal parti UMNO. Selain itu, tarikh membuang undi diadakan pada hari bekerja, iaitu hari Selasa, menyusahkan pengundi daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

  • Larangan ‘pelik’ pihak polis terhadap penyebutan nama mangsa wanita Mongolia ‘Altantunya’ dalam kempen pilihan raya. Pihak polis turut melarang PR untuk menerangkan krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak.

  • Larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan secara tidak adil dan tidak demokratik, jelas untuk menghalang PR daripada menyampaikan mesej kepada rakyat dan pengundi untuk ketiga-tiga PRK.

  • Penyalahgunaan media milik kerajaan - siaran langsung ceramah politik UMNO/BN di saluran TV1/RTM1.

Walaupun SPR, pihak polis, media serta badan-badan yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik, yang jelas bias kepada UMNO/BN, Pakatan Rakyat tetap menang, dan kemenangan itu adalah dengan majoriti yang lebih besar.

Kemenangan PR juga menunjukkan suatu lagi langkah kejayaan ke arah politik tanpa perkauman. Yang mana, PR berjaya menyatukan orang Melayu, Tionghua dan India. Hal ini amat jelas apabila sokongan orang Cina kepada parti Islam, PAS kian menambah, biarpun kepimpinan MCA telah menukar. Tindak tanduk Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat menunjukkan beliau bukanlah seorang pemimpin yang berintegriti. Hal ini berikutan dengan kegagalan Tee Keat dalam menjelaskan isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM 4.6 bilion. Selain itu, masalah dalaman MCA menunjukkan Tee Keat tidak terlepas daripada amalan kronisme.

Kita juga dimaklumkan bahawa PRK Bukit Gantang merupakan PRK yang paling penting antara semua PRK. Demikian kerana kemenangan PR menunjukkan keinginan rakyat Perak untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRU peringkat negeri supaya krisis politik Perak dapat diselesaikan secara demokratik. Kalaulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berazam untuk menangani krisis ekonomi yang semakin teruk, beliau harus menangani krisis politik dahulu, dan cara penyelesaian itu biarlah secara demokratik. Sekiranya krisis politik berlarutan, ia tidak membawa kebaikan untuk ekonomi negara, dan ia tentu akan memburukkan lagi ekonomi domestik. Hal ini kerana politik akan mempengaruhi ekonomi.

Kemenangan PR di Bukit Selambau pula, bolehlah dianggap satu lagi kejayaan besar PR kerana calon India PKR Manikumar yang berdepan dengan calon BN-MIC dan 13 calon bebas yang terdiri daripada pelbagai kaum, berjaya mempertahankan kerusi DUN itu yang majoriti pengundinya berbangsa Melayu dengan majoriti yang lebih besar.

Saya (rakyat), juga hairan mengapa selama ini, UMNO/BN gemar membuat dakwaan bahawa kononnya pemimpin PAS dan PKR yang mesra dengan pemimpin DAP dianggap memperjuangkan untuk kaum Cina sahaja. Sementara itu, MCA dakwa pula DAP menyokong pengislaman. Mengapa pemimpin BN selalu melaung-laungkan perpaduan sesama kaum sendiri sahaja dan bukan perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum? Itulah sikap pemimpin-pemimpin BN yang mahu memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia demi kepentingan politik mereka. Mujurlah, majoriti rakyat tidak lagi terpengaruh dengan retorik perkauman UMNO, MCA, MIC dan BN sejak PRU tahun lepas.

Saturday, 4 April 2009

Tindakan Najib Tidak Ikhlas

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta menarik balik penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan, jelas tidak ikhlas.

Sebenarnya, larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas penerbitan dua buah akhbar Pakatan Rakyat itu tidak seharusnya berlaku pada dua minggu yang lepas. Nampaknya, ia merupakan plot yang telah dirancang oleh Najib, yang mana, larangan penerbitan kedua-dua akhbar tersebut ditarik balik pula sejurus selepas Najib dengan rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Jelasnya Najib ingin menunjukkan bahawa pembatalan larangan ke atas kedua-dua akhbar tersebut, kononnya suatu keterbukaan dibawah kepimpinan barunya.

Selain itu, pembebasan sebahagian tahanan ISA adalah tidak memadai, yang mana, prinsip hak asasi manusia tetap dicabuli. Sebahagian tahanan ISA yang dibebaskan itu tidak termasuk peguam M Manoharan, yang merupakan wakil rakyat DUN Kota Alam Shah. Dengan itu, pemimpin Hindraf itu tetap dinafikan haknya untuk menjalankan tugas beliau sebagai seorang wakil rakyat sejak dipilih oleh pengundi kawasannya dalam PRU tahun lepas.

Kesimpulannya, pengumuman ‘mengejut’ Najib itu hanyalah sekadar sebahagian kempen pilihan raya UMNO/BN bagi tiga PRK yang akan datang – Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.

Thursday, 5 March 2009

Mengapa Darurat Bukan PRU Negeri?

Hairannya pernyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, yang menghasut kerajaan supaya mengisytiharkan darurat di negeri Perak, kononnya ingin menghormati dan mematuhi undang-undang, yang mana beliau menyifatkan Pakatan Rakyat sebagai kebodohan tentang undang-undang.

Menurut Ibrahim, Pakatan Rakyat telah memprovokasi dan mengkucar-kacirkan keadaan sudah sampai kepada keperluan mengisytiharkan darurat di negeri itu. Mereka boleh membohongkan diri sendiri, tetapi mereka tidak akan dapat mengubahnya, ia telah menjadi sejarah, merupakan fakta, bukan tafsiran, bukan pandangan bias, bahawa UMNO/BN adalah pencetus dalam krisis politik di Perak dengan bertindak di luar undang-undang.

Kita juga terpaksa menerima hakikat bahawa perlantikan Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar adalah secara tidak sah dan selain itu, mahkahmah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis juga telah menunjukkan bahawa mereka adalah tidak bebas daripada pengaruh badan eksekutif, iaitu UMNO dan Barisan Nasional.

Nampaknya, semangat demokrasi telah dibelakangkan oleh UMNO/BN dan konco-konconya. Mengapa sanggup mahu mengisytiharkan darurat? Adakah mereka buta sejarah? Kalau darurat diisytiharkan, rakyat tentu akan menderita dan ia akan menjejaskan ekonomi negara. Kenapa mereka tidak sanggup mengadakan PRU negeri, sedangkan ia adalah cara yang paling demokrasi untuk memulihkan ketenteraman awam? Jelasnya, sikap mereka yang kononnya mengambil berat tentang ketenteraman awam dan pertumbuhan ekonomi negara adalah tidak ikhlas, cuma rakus mengejar kuasa.

Monday, 23 February 2009

Sejarah Hitam UMNO/BN Masih Dalam Penciptaan

Nampaknya kerajaan BN tidak akan kekal lama lagi dan tentu satu hari nanti ia akan menjadi pembangkang di negara ini. Hal ini berikutan dengan aspirasi rakyat yang semakin inginkan perubahan serta politik yang semakin jijik yang dimainkan oleh UMNO/BN.

Belakangan ini, kita didedahkan dengan pelbagai isu politik yang menyaksikan betapa kotornya politik UMNO/BN. Mereka sanggup menggunakan segala-gala muslihat untuk kepentingan politik sendiri. Namun, usaha mereka tidak mencapai matlamat politik yang diinginkan, malahan ia mengukuhkan lagi kesungguhan rakyat untuk menggulingkan kerajaan BN dalam PRU yang akan datang.

Episod rampasan kuasa di Perak rancangan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-6 Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, yang tidak bermoral dan tidak menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan akan diingati oleh rakyat Malaysia sampai bila-bila, ia merupakan satu lagi sejarah hitam dalam sejarah UMNO/BN.

Selain itu, pemimpin-pemimpin UMNO/BN begitu menghina politik di negara ini yang mana sikap mereka yang bukan saja tidak bersimpati dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong yang menjadi mangsa dalam gambar separuh bogel tetapi menyerang pula keperibadian wakil rakyat wanita tersebut yang dicabuli hak peribadinya. Nampaknya mainan politik UMNO/BN telah melampau, ia tidak sepatutnya sampai ke tahap untuk menyerang keperibadian seorang wanita yang tidak bersalah.

Ucapan bekas Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang dalam suatu persidangan di Dewan Rakyat baru-baru ini, begitu dirasai yang mana beliau menyuarakan kekesalan terhadap kepimpinan BN yang jelas lebih bertumpu kepada isu-isu politik berbanding dengan isu ekonomi sedangkan krisis ekonomi semakin teruk. Jelasnya kerajaan BN tidak berkomited untuk menangani krisis ekonomi yang semakin melanda.

Kesemua tindak tanduk UMNO/BN menunjukkan betapa takut perasaan mereka akan kehilangan tambuk kuasa. Demikian kerana mereka bukan saja kehilangan tambuk kuasa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara, tetapi tentu banyak kes rasuah, jenayah yang membabitkan pemimpin-pemimpin BN akan disiasat. Dengan itu, mereka akan menghadapi situasi seperti mana yang dihadapi oleh bekas Presiden Taiwan Chen Sui-bian selepas parti lawannya Kuomintang (KMT) memenangi dalam PRU wilayah itu tahun lepas.

Wednesday, 2 July 2008

Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Rakyat di negara ini, tak kira Melayu, India atau Tionghua, berasa hairan dengan penyataan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kononnya perpaduan dan integrasi nasional merupakan aspirasi utama BN. Demikianlah laungan “tak laku” Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu persidangan di Dewan Rakyat semasa menjawab soalan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Perdana Menteri untuk memupuk objektif Bangsa Malaysia sejajar dengan Wawasan 2020 memandangkan masalah polarisasi kaum kini semakin memburuk berikutan dengan bunyi riuh komunal mengenai “ketuanan Melayu” atau “kedaulatan Melayu” yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Lim Kit Siang (DAP – Ipoh Timur).

Selepas Tsunami Politik 8 Mac lalu, isu perkauman yang dimainkan oleh BN dan media-media agensi kempen pilihan raya mereka diteruskan untuk kepentingan politik UMNO dan BN. Hal demikian berikutan penguasaan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri dan wilayah persekutuan. Negeri-negeri yang ditadbir oleh PR sering diambil kesempatan dengan mengaitkan isu perkauman, khususnya negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Misalnya, sistem tender terbuka di Pulau Pinang, isu projek pembinaan ladang khinzir dan isu keluasan tempat ibadat bukan Islam di Selangor, isu perlantikan Menteri Besar Perak, bangsa exco negeri di Perak dipersoalkan dan sebagainya. Semua ini semata-mata hanya untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu terhadap UMNO, memandangkan kaum Melayu telah tiada lagi kepercayaan terhadap kepimpinan BN.

Bagi rakyat Malaysia, kemenangan PR bukanlah sekadar 81 kerusi parlimen dan lima buah negeri tetapi ia adalah lebih daripada itu. Ini kerana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai bentuk ketidakadilan seperti proses pilihan raya yang tidak adil (pembatalan penggunaan dakwat kekal, pengundian pos), politik wang yang diamalkan BN, laporan berat sebelah dan ketiadaan kebenaran dalam media arus perdana, Mujurlah, rakyat Malaysia telah bangun dan tidak lagi terpengaruh dengan segala bentuk retorik UMNO yang bersifat perkauman dan memecahbelahkan. Rakyat Malaysia hari ini mengundi bukan lagi berdasarkan apa bangsa calon tetapi adalah mengundi untuk perubahan, undi untuk melindungi hak sendiri sebagai anak Malaysia.

Hanya keadilan dapat satukan manusia. Demikian dikatakan Presiden PAS. Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Sumber didapati dalam akhbar rasmi partinya, Harakah yang bertarikh 1 – 15 Jun 2008. Penyataan sedemikian sememangnya tidak dapat mana-mana pihak untuk menyangkalnya, Tetapi, adakah pendirian PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam itu adil dan dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama? Sudah tentu tidak dan ia hanya akan memburukkan lagi hubungan antara kaum di negara ini. Negara Islam sememangnya tidak praktikal untuk diamalkan di Malaysia yang berbilang agama seperti mana yang ditegaskan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Apa yang perlu ditegaskan adalah rakyat India dan Tionghua tidak pernah menerima negara Islam seperti mana yang didakwa oleh pemimpin PAS yang kononnya rakyat India dan Tionghua telah menerima negara Islam. Selepas Tsunami Politik 8 Mac lalu, orang India dan Tionghua begitu kecewa dengan kata-kata pemimpin PAS dan berasa tertipu yang mana, sebelum pilihan raya, laungan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ tetapi kini ia telah berubah menjadi laungan ‘Negara Islam’. Itulah penting untuk kita rakyat Malaysia tidak memberi sokongan kepada PAS, sokongan kepada PAS atau UMNO hanya akan membawa kepada polarisasi kaum atau agama.

Monday, 2 June 2008

[Dewan Rakyat] Usul Bahas Tindakan Keganasan Polis Ditolak

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada tarikh 29hb Mei 2008, telah menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching bagi membincangkan isu keganasan anggota polis terhadap orang awam di Bandar Mahkota Cheras (BMC) baru-baru ini. Timbalan Yang Dipertua berkata perkara itu tidak perlu dipersegerakan.

Apa yang menghairankan orang ramai adalah apabila Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran mengemukakan peraturan mesyuarat dibawah peraturan 18 (3), yang mana, apabila beliau meminta 15 orang ahli untuk bangun bagi membolehkan usul tersebut dibahaskan, tidak seorang pun Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang berdiri untuk membolehkan usul tersebut yang begitu penting dibahaskan.

Penolakan usul bahas tindakan keganasan polis di BMC telah mencerminkan Barisan Nasional menyokong keganasan anggota polis terhadap orang awam serta tidak mempedulikan segala hak-hak rakyat jelata kita.