English   |   Bahasa Melayu

Mapois

 

Suara Patriot Sebenar

 

Sunday 16 March 2008

Perak MB, Kita Tidak Harus Salahkan Kit Siang

Keputusan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Mohammad Nizar Jamaluddin dari parti PAS sebagai Menteri Besar Perak telah menyebabkan keadaan terkejut dan runsing dalam kalangan bukan saja pemimpin dan ahli DAP, tetapi juga penyokongnya.

Ingatkah kita bahawa kerjasama DAP dengan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya 1999, telah menyebabkan DAP kehilangan penyokongnya? Ini disebabkan fahaman politik yang diamalkan oleh PAS adalah amat bertentangan dengan DAP dan penyokongnya, khusus kepada ideologi politik yang berasaskan agama yang dilaung-laungkan oleh PAS pada ketika itu. Dengan itu, jika Kit Siang berdiam dan menerima saja keputusan untuk melantik ahli PAS sebagai Menteri Besar negeri itu, sudah tentu sesetengah pihak akan mengambil kesempatan, terutamanya, MCA dan Gerakan, di mana mereka akan mengatakan bahawa satu undi untuk DAP sama dengan satu undi untuk PAS dan satu undi untuk negara Islam. Ini merupakan perkara yang telah pun berlaku pada pilihan raya 1999.

Dalam kenyataan Kit Siang, beliau menegaskan bahawa pihak DAP bersedia untuk menerima Pengerusi DAP Perak dan ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham atau ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dari PKR sebagai Menteri Besar Perak. Dengan itu, sudah jelas bahawa DAP bukanlah memperjuangkan kuasa untuk parti mereka sendiri, tetapi adalah untuk menunaikan prinsip parti, iaitu, perjuangan untuk semua kaum, di mana DAP dan PKR merupakan parti yang berbilang kaum dan agama tetapi PAS adalah parti untuk umat Islam sahaja.

Selain itu, PAS hanya memenangi 5 kerusi ADUN, sedangkan DAP memenangi kesemua 18 kerusi ADUN yang ditandinginya dan PKR memenangi 7 kerusi ADUN. Dengan itu, adakah ia relevan untuk PAS yang mewakili masyarakat minoriti untuk memimpin negeri Perak? Sudah tentu rakyat akan menolaknya.

Menurut beberapa kenyataan akhbar yang dibuat oleh pemimpin Barisan Nasional, mereka telah memutarbelitkan perjuangan Kit Siang. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang kononnya mengatakan bahawa DAP sedang mengundang api perkauman dan gilakan kuasa.

Siapa yang gilakan kuasa? Jika DAP gilakan kuasa, DAP sudah menyertai Barisan Nasional pada peringkat awal seperti mana yang telah pun dibuat oleh Gerakan dan PPP. Kedua-dua parti pada dulunya merupakan parti pembangkang yang kuat, tetapi akibat gilakan kuasa, mereka telah menyertai Barisan Nasional pada tahun 1971. Ini membuktikan bahawa Gerakan dan PPP tiada pendirian politik. Begitu juga dengan PAS yang pernah menyertai Barisan Nasional pada pilihan raya 1974. DAP merupakan satu-satu parti yang tidak pernah menyertai Barisan Nasional, mereka berpegang teguh fahaman politik mereka berteraskan prinsip demokrasi dan keadilan, tanpa mengira kaum dan agama.

Natijahnya, perjuangan Kit Siang bukanlah suatu perkara yang mengundang api perkauman atau gilakan kuasa tetapi adalah demi penyokong partinya kerana kita semua tidak mahu sejarah dalam pilihan raya 1999 berulang.

No comments:

Post a Comment