English   |   Bahasa Melayu

Mapois

 

Suara Patriot Sebenar

 

Wednesday 8 April 2009

Rakyat Bertekad Menumbangkan Kerajaan UMNO/BN

Keputusan PRK Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau semalam, menunjukkan rakyat bertekad untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN, cuma peluang belum tiba, iaitu PRU ke-13. Yang mana, calon Pakatan Rakyat (PR) mampu menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan PRU tahun lepas, biarpun peralihan kuasa dalam UMNO telah dilakukan.

Selain itu, kemenangan PR di dua Bukit adalah jauh lebih bermakna berbanding dengan kemenangan UMNO/BN di Batang Ai. Hal ini kerana campur tangan pelbagai pihak dalam ketiga-tiga PRK ini jelas bertujuan untuk menggagalkan keberkesanan kempen pilihan raya PR. Ia termasuklah:

  • Tarikh membuang undi yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jelas ditentukan dengan mempertimbangkan hal ehwal parti UMNO. Selain itu, tarikh membuang undi diadakan pada hari bekerja, iaitu hari Selasa, menyusahkan pengundi daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

  • Larangan ‘pelik’ pihak polis terhadap penyebutan nama mangsa wanita Mongolia ‘Altantunya’ dalam kempen pilihan raya. Pihak polis turut melarang PR untuk menerangkan krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak.

  • Larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan secara tidak adil dan tidak demokratik, jelas untuk menghalang PR daripada menyampaikan mesej kepada rakyat dan pengundi untuk ketiga-tiga PRK.

  • Penyalahgunaan media milik kerajaan - siaran langsung ceramah politik UMNO/BN di saluran TV1/RTM1.

Walaupun SPR, pihak polis, media serta badan-badan yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik, yang jelas bias kepada UMNO/BN, Pakatan Rakyat tetap menang, dan kemenangan itu adalah dengan majoriti yang lebih besar.

Kemenangan PR juga menunjukkan suatu lagi langkah kejayaan ke arah politik tanpa perkauman. Yang mana, PR berjaya menyatukan orang Melayu, Tionghua dan India. Hal ini amat jelas apabila sokongan orang Cina kepada parti Islam, PAS kian menambah, biarpun kepimpinan MCA telah menukar. Tindak tanduk Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat menunjukkan beliau bukanlah seorang pemimpin yang berintegriti. Hal ini berikutan dengan kegagalan Tee Keat dalam menjelaskan isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM 4.6 bilion. Selain itu, masalah dalaman MCA menunjukkan Tee Keat tidak terlepas daripada amalan kronisme.

Kita juga dimaklumkan bahawa PRK Bukit Gantang merupakan PRK yang paling penting antara semua PRK. Demikian kerana kemenangan PR menunjukkan keinginan rakyat Perak untuk membubarkan DUN dan mengadakan PRU peringkat negeri supaya krisis politik Perak dapat diselesaikan secara demokratik. Kalaulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berazam untuk menangani krisis ekonomi yang semakin teruk, beliau harus menangani krisis politik dahulu, dan cara penyelesaian itu biarlah secara demokratik. Sekiranya krisis politik berlarutan, ia tidak membawa kebaikan untuk ekonomi negara, dan ia tentu akan memburukkan lagi ekonomi domestik. Hal ini kerana politik akan mempengaruhi ekonomi.

Kemenangan PR di Bukit Selambau pula, bolehlah dianggap satu lagi kejayaan besar PR kerana calon India PKR Manikumar yang berdepan dengan calon BN-MIC dan 13 calon bebas yang terdiri daripada pelbagai kaum, berjaya mempertahankan kerusi DUN itu yang majoriti pengundinya berbangsa Melayu dengan majoriti yang lebih besar.

Saya (rakyat), juga hairan mengapa selama ini, UMNO/BN gemar membuat dakwaan bahawa kononnya pemimpin PAS dan PKR yang mesra dengan pemimpin DAP dianggap memperjuangkan untuk kaum Cina sahaja. Sementara itu, MCA dakwa pula DAP menyokong pengislaman. Mengapa pemimpin BN selalu melaung-laungkan perpaduan sesama kaum sendiri sahaja dan bukan perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum? Itulah sikap pemimpin-pemimpin BN yang mahu memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia demi kepentingan politik mereka. Mujurlah, majoriti rakyat tidak lagi terpengaruh dengan retorik perkauman UMNO, MCA, MIC dan BN sejak PRU tahun lepas.

1 comment:

  1. Article awak sangat bernas, kau memiliki blog yang menarik!

    ReplyDelete